Calon tampil untuk disoal oleh pengundi: Kampung Baru Pandamaran mengorak langkah ke arah demokrasi
Lim Hong Siang | Aug 12, 2011 06:15:53 pm
Meskipun hanya satu pilihan raya untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun Kampung Baru Pandamaran telah mengorak satu langkah yang penting, bukan sahaja ke arah memulihkan demokrasi tempatan, malah menjadi teladan bagaimana pilihan raya boleh dikendalikan.
Pemerhati politik, Tang Ah Chai yang diundang sebagai salah seorang pengadil tetamu dalam acara Perdebatan Calon Pengerusi JKKK Kampung Baru Pandamaran, semalam, memberi pujian setinggi-tingginya kepada lima orang calon pengerusi JKKK yang berani tampil untuk mengetengahkan pandangan politik mereka, pada masa yang sama sudi berdebat sesama diri dan dipersoalkan pengundi.
"Belum tentu lagi calon ahli parlimen dan ADUN berani berbuat demikian...dan kamu sudah berada di atas pentas!" kata Tang Ah Chai disambut dengan tepukan dan sorakan kira-kira 300 penduduk tempatan yang menghadiri acara yang dianjurkan di gelanggang bola keranjang, Kampung Baru Pandamaran.
Pilihan raya JKKK ini telah mengorak langkah pertama ke arah memulihkan pilihan raya majlis tempatan, dan penduduk Pandamaran telah memberi sumbangan yang besar dalam hal ini, kata Tang Ah Chai. Ketika membuat ulasannya, beliau berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya meneladani pilihan raya JKKK ini, untuk mengadakan perdebatan antara calon ketika PRU berlangsung; malah stesen televisyen rasmi diseru untuk mencontohi e-tv, agar membuat liputan untuk acara sebegini.
Acara ini diadakan oleh kerajaan negeri Selangor, dengan kerjasama stesen televisyen e-tv sebagai media yang membuat liputan untuk siaran kemudiannya. Selain calon nombor tiga Tee Kim Huat, lima orang calon yang lain, iaitu Yap Hock Siew (1), Yap Kim Huat (2), Tee Boon Hock (4), Tan Yu Tiam (5) dan Low See Mee (6) semuanya hadir untuk berdepan dengan pengundi.
Sungguhpun kepetahan calon berbeza antara satu sama lain, namun daripada apa yang diutarakan, mereka amat jelas dengan masalah yang berlaku di kampung mereka, ulas Tang Ah Chai. Malah, Tang Ah Chai berkata, pengundi yang tampil melontarkan soalan, bukan sekadar menuntut "komen calon terhadap masalah kampung", malah mengharapkan "pembangunan kampung pada masa depan".
"Itulah antara tuntutan BERSIH 2.0!"
Seorang lagi pengadil tetamu, Wong Chin Huat, yang juga ahli jawatankuasa BERSIH 2.0, menyahut apa yang dikatakan Tang Ah Chai. Beliau mengingatkan bahawa 50,000 orang telah turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011, dengan tuntutan kelima BERSIH 2.0, iaitu "akses media yang bebas serta adil supaya tiada parti yang dipinggirkan oleh media". Dalam hal ini, etv yang membuat liputan perdebatan ini menjadi teladan kepada stesen media elektronik yang lain, katanya.
"Calon yang tampil pada malam ini adalah calon dari akar umbi, mereka mungkin tidak bertutur dalam bahasa yang bombastik, tetapi percakapan mereka memperlihatkan bahawa mereka menguasai masalah sebenar yang berlaku dalam kampung ini," Chin Huat menambah, "Apapun jawatan rasmi yang kamu bertanding, yang penting kamu bertanggungjawab kepada bos-bos (rakyat) di bawah pentas ini!"
Seorang orang lagi pengadil tetamu, Liaw Siau Chi iaitu Pengarah Pasaran dan Jenama etv, turut memuji penduduk Pandamaran kerana turut serta meraihkan demokrasi. Beliau melihat acara ini sebagai langkah yang penting dalam pendemokrasian, dan calon wakil rakyat perlu memikul tanggungjawab yang lebih berat, dan memperbaiki kualiti dirinya - apabila kesedaran rakyat semakin meningkat.
Sesi-sesi yang terangkum dalam acara ini termasuk perkongsian pandangan politik calon (2 minit/orang), soal-jawab antara tetamu pengadil tetamu dengan calon, soal-jawab antara calon dengan calon, soal-jawab antara penduduk dengan calon; sebelum calon dan pengadil tetamu menggulung ucapan mereka.
Antara isu yang dibangkitkan calon dan penduduk termasuklah masalah pembuangan sampah sarap, papan tanda jalan, masa depan Kampung Baru Pandamaran dan sebagainya. Sebelum ini, pilihan raya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah bermula di Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat pada 24 Julai, dan Kampung Bagan Pulau Ketam pada 31 Julai.
Kira-kira 13,000 penduduk di Pandamaran layak mengundi Pengerusi JKKK Kampung Baru Pandamaran pada Ahad yang akan datang, iaitu 14 Ogos 2011.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.